Tuesday, 8 December 2009

Bahasa Bonda

Membuka tirai bicara, bahasa bonda bermaksud bahasa pertuturan yang diwarisi turun temurun. Melalui bahasa dan tutur kata lah kita boleh menilai seseorang individu atau kaum. Bahasa juga bukalah sesuatu yang statik, maksudnya bahasa sentiasa boleh berubah mengikut koloni yang menghuni sesebuah kawasan. Maka akan lahirlah bahasa rojak yang ditutur dan difahami semua orang yang tinggal dalam kelompok yang sama walau pun berlainan darah dan keturunan.

Masyarakat Melayu Cocos atau Orang Cocos terpisah dari dunia luar sejak mereka di bekerja dan tinggal di Kepulauan Cocos Keeling, Indian Ocean sejak tahun 1884 lagi. Tunjang agama dan bahasa Melayu menjadi benteng pengekalan adat dan tradisi meskipun percampuran pelbagai keturunan Melayu dari seluruh nusantara ( Indonesia, Malaysia dan Brunei). Bahasa Melayu pertuturan atau bahasa perbualan harian akhirnya menjadi bahasa Melayu rojak atau bercampur-campur. Pengaruh Pedagang keturunan baba nyonya di Melaka dan Java, menjadikan perkatan 'gua' dan 'lu' sebagai menggantikan perkataan 'saya' dan 'awak'.Uniknya selepas 60 tahun masyarakat Melayu Cocos berbangsa di bumi Sabah, perkataan mudah 'gua' dan 'lu' masih lagi menjadi tunjang perbualan seharian.

Disebalik penggunaan perkataan gua dan lu tadi, penggunaan petuturan hanya dalam kelompok umur yang sebaya. Penggunaan 'gua' akan bertukar kepada perkataan 'saya' bila berkomunikasi dengan golongan lebih tua sebagai tanda hormat.

Penggunaan bahasa Melayu muda digunakan sebagai bahasa perantaraan. Kalau dulu imbuhan perkataan amat kurang tetapi memandangkan perkembangan bahasa Melayu semasa, maka imbuhan juga bertambah dalam pertuturan. Sebutan bahasa pertuturan atau lisan dengan bahasa persuratan tidak sama. Lenggok dilek sedikit berbeza bunyinya. Contohnya dalam bahasa Melayu persuratan, perkataan sungai akan disebut sungai, tetapi dalam bahasa pertuturan Melayu Cocos perkataan sungai disebut sebagi sungik atau sungi.

Dialek bahasa Melayu Cocos kedengaran seperti orang Singapura, Melaka atau Betawi bertutur. Walau bagaimana pun terdapat juga perkataan bahasa Inggeris telah dicocoskan. Contohnya perkataan blue atau biru, dipertuturan sebagai belau yang membawa maksud kebiru-biruan. Pengunaan ayat seperti," Nya belau bibir lu wak ni ari?" yang membawa maksud "kenapa bibir kamu hari ini nampak pucat kebiru-biruan?".

"Mengomong- mengomong jugak wak, perutnya keroncong", membawa maksud, "semasa bersembang kita bersembang tapi perut juga perlu diisi kerana lapar". Memang seronok untuk membicaraan bahasa lisan Orang Cocos kerana sarat dengan maksud yang tersirat dan sedap didengar telinga.

Sembangnya berhenti disini dulu, kerana perutnya sudah berbunyi. Teringat pesan emak," kalok makan jangan sampai kekenyangan, nanti terpaksa peluk pendaringan".

Monday, 7 December 2009

Salam Perkenalan Buat Semua



Orang tua-tua selalu berpesan,"jauh perjalanan luas pandangan". Pepatah ini menggalakkan kita semua menerokai dunia fana ini tanpa kita lupa asal usul kita. Sesungguhnya bahasa menunjukkan bangsa, kerana bahasa menjadi linguafrangka untuk kita mengenali dan menyelami adat budaya, sosio-ekomomi hatta pegangan atau anutan agama seseorang individu atau kaum.

Berbicara mengenai kaum dan adat resam, blog ini dibina atas kesedaran bahawa kita harus mengenali latar belakang budaya kita, kerana budaya lah yang akan membentuk kekuatan perpaduan dalam IMalaysia. Tunjang budaya dan adat resam yang pelbagai menjadikan kita rakyat Malaysia yang sebanyak 215 etnik lebih bersatu dan saling hormat menghormati.

Selain itu, blog ini lahir juga kerana ingin mengenengahkan suku atau orang Cocos/Kokos termasuklah asal usul, adat resam dan sosio-budaya unik yang dimiliki. Barang kali, popolariti orang Cocos berlegar dalam Sabah tetapi kurang di Semenanjung atau Sarawak. Ramai yang bertanyakan Orang Cocos ni sebenarnya orang atau kaum yang datangnya dari mana dan bagaimana boleh mejadi bumiputera Sabah?

Sebenarnya, Orang Cocos adalah keturunan Orang Melayu di sekitar nusantara Tanah Melayu. Kenapa Orang Cocos dikatakan Orang Melayu? Bahasanya, cara hidup dan ada resamnya, hatta agamanya agama Islam, meskipun terdapat perbezaan sedikit dari adat resam dan budaya jika dihalusi secara mikro. Pokok pangkalnya, dalam setiap rumpun Melayu ada ciri dan keistimewaan tersendiri yang boleh dihargai dan diwarisi. Sesunguhnya Orang Cocos tinggi budi dan kaya warisan.

Laman ini juga akan berkisar melalui pengetahuan dan pengalaman saya selaku anak Melayu keturunan Cocos. Orang tua-tua selalu berpesan, kalau nak tau rumah yang mempunyai ramai anak dara, lihat lah laman rumahnya. kalau banyak tanaman bunga, pasti ramailah anak perempuan di rumah tersebut. Mudah nak naik merisik khabar.

Bicara mengenai merisik khabar, bagaimana hendak mengenali Orang Cocos, kita akan berkisah di lain episod. Apa pun masih teringat pesanan emak sewaktu kecil dahulu," kalau tidur jangan bangun setelah orang lain sudah sampai di England". Pesanan itu membawa maksud, segala perbuatan harus ada batasan dan kealfaan akan membuat kita terbelakang berbading orang lain. Pesanan emak itu sampai hari ini saya ingati kerana saya tidak mahu disamakan dengan pantun melayu lama yang berbunyi'" tinggi-tinggi si matahari, anak kerbau mati tertambat".